Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, Deputi Superintenden Hussin Zamora berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika sepasukan pegawai dan anggotanya sedang menjalankan sekatan jalan raya di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah di Lebuh Raya Sultanah Bahiyah.

“Menyedari terdapat sekatan jalan raya, lelaki warganegara Myanmar itu yang memandu kereta Proton Saga secara berseorangan bertindak melawan arus dan membuat pusingan ‘U’ di depan Taman Kelisa. Dia kemudiannya bertindak agresif dengan melanggar motosikal ditunggang anggota polis yang memakai uniform di lampu isyarat menuju ke Jalan Putra sehingga mengakibatkan anggota tersebut patah pergelangan tangan kanan.

“Suspek tidak langsung memberhentikan kenderaan sebaliknya memecut menuju ke Jalan Gangsa. Dia kemudiannya meninggalkan keretanya di tepi jalan lalu masuk ke dalam sebuah pasar raya besar di situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hussin berkata, pergerakan suspek itu bagaimanapun telah dikesan oleh anggotanya yang turut mengekori lelaki itu ke dalam pasar raya terbabit.

“Ketika suspek ditahan, dia bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan. Tindakan itu mengakibatkan lelaki tersebut mengalami bengkak di dahi dan lebam di mata sebelah kanan.” katanya.

Tambahnya pemeriksaan terhadap beg silang dibawa suspek mendapati terdapat dua peket plastik lutsinar dan satu keratan tiub straw yang mengandungi dadah jenis heroin seberat kira-kira 3.88 gram.

“Suspek kemudiannya dibawa ke kereta Proton Saga terbabit dan pemeriksaan di dalamnya menemukan satu kotak minuman di tempat duduk depan sebelah kiri kereta tersebut.

“Dalam kotak minuman tersebut ditemukan tiga peket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi dadah disyaki heroin seberat kira-kira 327.10 gram,” katanya.

Katanya ujian air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morphin dan kes disiasati mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - UTUSAN ONLINE