Dalam kejadian kira-kira pukul 11.25 pagi itu, suspek yang merupakan warga asing berusia 38 tahun itu dengan bersenjatakan sebilah parang mengamuk di kawasan kampung tersebut sebelum orang awam menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Peter Anak Umbuas berkata, tiga anggota polis yang tiba di lokasi kejadian cuba menenangkan suspek, namun mereka diserang menggunakan parang tersebut.

“Berikutan serangan itu, anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah suspek dan terkena bahagian betisnya.

“Satu lagi das tembakan terpaksa dilepaskan berikutan suspek masih bertindak agresif,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Peter, suspek yang mengalami kecederaan di kedua-dua betisnya itu akhirnya berjaya ditahan dan parang panjang berukuran 66 sentimeter turut dirampas.

“Suspek dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan dan tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.- UTUSAN ONLINE