Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, penganggur yang berusia 32 tahun itu kerugian kira-kira RM6,930 manakala pesara berkenaan pula rugi RM6,290 selepas terpedaya dengan sindiket berkenaan.

Menurutnya, dalam kejadian membabitkan penggangur itu, mangsa telah melihat iklan pinjaman di laman Facebook dan berminat untuk membuat pinjaman sebanyak RM7,000.

"Mangsa yang meninggalkan nombor telefon di laman Facebook itu kemudian dihubungi seorang lelaki yang mengaku sebagai ejen daripada syarikat pinjaman.

"Ejen ini kemudiannya telah meminta mangsa membayar wang proses pinjaman tersebut secara berperingkat sehingga berjumlah RM6,930 dan mangsa telah membuat bayaran ke dalam dua akaun berbeza dipercayai milik suspek," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa hanya menyedari ditipu kerana masih diminta membuat bayaran walaupun telah membayar sebanyak RM6,930 untuk meminjam RM7,000.

Dalam pada itu, Norzainy berkata, dalam kes yang melibatkan seorang pesara pula, mangsa yang berumur 54 tahun telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan terdapat tunggakan bil elektrik di premis milik mangsa.

"Mangsa dikatakan mempunyai tunggakan bil elektrik dan kemudiannya diminta untuk membuat bayaran tanpa membuat rujukan dengan pihak TNB.

"Mangsa telah melakukan dua transaksi wang ke dalam dua akaun bank dalam masa satu hari melibatkan wang keseluruhan RM6,290," katanya. - UTUSAN ONLINE