Menurut sumber, kedua-dua suspek akan didakwa di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Rakan subahat Abd. Latif dikenal pasti sebagai ‘orang tengah’ dalam kes tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan maklumat tersebut dan membe­ritahu, sekiranya didapati bersalah, Abd. Latif serta rakan subahatnya boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Abd. Latiff bercuti daripada tugasnya sejak 1 Mac lalu, susulan siasatan terhadap skandal rasuah hartanah di Johor sebelum ditahan SPRM pada 9 Mac bagi membantu siasatan.

Pada 10 Mac lalu, dia direman tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000.

Dalam perkembangan lain, sumber memberitahu, orang kenamaan yang dikaitkan dengan kes pembelian hartanah oleh Mara Incorporated Sdn. Bhd. (Mara Inc.) di Melbourne, Australia dipercayai menggunakan proksi untuk mendapatkan habuan daripada pembelian tersebut.

Ujarnya, proksi tersebut digunakan sebagai pemudah cara untuk membawa masuk habuan yang diterima ke negara ini tanpa dikesan pihak berkuasa.

“Setakat ini belum ada tangkapan dibuat, bagaimanapun lebih 10 saksi sudah dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kes tersebut.

“Siasatan diadakan secara menyeluruh dengan meneliti semua dokumen jual beli serta aliran keluar masuk wang akaun bank individu yang disyaki terlibat,” katanya

Azam ketika diminta mengulas mengenai maklumat itu berkata, pihaknya akan membuat tangkapan sebaik sahaja siasatan berhubung kes itu dilengkapkan.

Jumaat lalu, beliau memberitahu pihaknya sedang meneliti maklumat baharu berhubung dakwaan salah laku seorang bekas menteri yang dikaitkan dengan kontroversi pembe­lian hartanah, Dudley International House di Melbourne, Australia oleh Mara Inc.