Warga Nigeria tersebut, Thomas Orhions Ewansiha, 34, merupakan seorang pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengurusan di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, laporan penuh daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) itu akan diterima dalam waktu terdekat sekali gus memberi penjelasan mengenai punca kematian mangsa.

“Siasatan awal mendapati bahawa lelaki itu secara tiba-tiba mengalami sawan ketika sedang tidur dan dia meninggal dunia bukan kerana dipukul atau kekerasan fizikal.

“Tindakan pemeriksaan dan rawatan serta-merta diambil oleh Unit Rawatan Khas yang bertugas dan kemudian menghubungi PPUKM untuk bantuan segera,” katanya.

Khairul memberitahu, pihaknya juga sudah mengadakan pertemuan dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Nigeria termasuk 22 wakil kedutaan negara lain kelmarin bagi menerangkan mengenai kejadian yang berlaku tersebut.

Beliau berkata, demikian ketika ditemui pemberita selepas Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Silang dan sebuah hotel di Pudu hari ini.

Pada Jumaat lalu media melaporkan, seorang warga Nigeria terbabit meninggal dunia akibat diserang sawan ketika sedang tidur di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Selain itu, ulasnya lanjut, beliau menegaskan mangsa dilayan dengan berhemah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) menguruskan tahanan oleh semua pegawai Imigresen bertugas di Depoh Imigresen Bukit Jalil (DIBJ). – UTUSAN ONLINE