Kesemua suspek ditahan di sebuah rumah dua tingkat di Kampung Kinaratuan di sini kira-kira pukul 2.30 pagi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, hasil serbuan itu, pihaknya berjaya menahan dua lelaki di dalam rumah berkenaan.

Ujarnya, hasil siasatan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan stor penyimpanan peralatan membuat senjata api di belakang rumah berkenaan dan sebuah pondok terletak kira-kira 150 meter dari rumah itu.

"Di pondok itu, polis turut menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai barangan senjata api yang tersimpan di pondok berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaini memberitahu, seorang daripada suspek terbabit dipercayai menjalankan aktiviti membuat, menjual senjata api buatan sendiri sejak 25 tahun lalu.

Jelasnya, senapang dan pistol tiruan itu kemudiannya dijual antara RM800 hingga RM2,800.

“Selain tangkapan tiga lelaki, kita juga menahan enam lelaki lagi di Kampung Debut, Bundu Tuhan dan Kapatahan pada hari sama dan keesokkannya bagi membantu siasatan.

“Kesemua lelaki warga tempatan yang ditahan itu berumur lingkungan 29 hingga 83 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat sama dalam kegiatan itu bagaimanapun seorang warga emas dibebaskan dengan jaminan polis,” jelasnya.

Tambah Zaini, pelbagai peralatan senjata api buatan sendiri terdiri lapan laras senjata bakakuk, sembilan laras senapang angin, selaras senjata guli buatan sendiri, sepucuk pistol buatan sendiri, sepucuk revolver dan pelbagai jenis peluru dirampas.

"Semua senjata akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk menentukan keaslian senjata itu.

“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 iaitu penalti kerana berdagang senjata api. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang enam kali,” katanya.- BERNAMA