Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, lapan individu tersebut adalah sebahagian daripada 860 orang yang dikehendaki dari tahun 1967 sehingga Mac tahun ini.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek ini melarikan diri serta bersembunyi di negara jiran. Namun, jerat selalunya tidak pernah lupakan pelanduk.

“Malah mungkin juga ada daripada mereka (daripada 860 individu dari tahun 1967) itu yang sudah meninggal dunia dan sebagainya,” katanya.

Beliai berkata demikina selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Hasanuddin berkata, daerah ini menunjukkan jumlah paling banyak iaitu 201 orang paling dikehendaki diikuti Tumpat seramai 137 orang atas pelbagai kesalahan.

“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini kita membuat tangkapan seramai 45 individu dan polis memohon jasa orang awam untuk membantu mengesan mereka ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE