Menurut sumber, kejadian bermula pada pukul 7.30 malam apabila suspek berusia 43 tahun mencurahkan minyak petrol di dalam kereta sebelum menyalakan api menggunakan pemetik api dan melarikan diri.

Bagaimanapun katanya, suspek ditahan selepas diserahkan sendiri oleh abangnya yang berusia 48 tahun kepada pihak polis kira-kira pukul pukul 9.45

“Suspek mempunyai lima rekod lampau termasuk samun dan pernah dikenakan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

"Dia mengaku sengaja membakar kereta tersebut dengan cara mencurahkan minyak petrol di atas alas kaki penumpang hadapan dan menyalakan api menggunakan pemetik api," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambah sumber itu lagi, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui satu pemetik api serta satu tiub straw cerah mengandungi satu biji setengah pil berwarna merah dipercayai pil kuda.

“Kita turut merampas sekotak rokok serta sehelai seluar jeans yang dipakai suspek semasa kejadian tersebut. Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Kita percaya suspek memasukkan dadah ke dalam badan sebelum melakukan perbuatan tersebut,” katanya.

Sementara itu, siasatan lanjut mendapati kenderaan didaftarkan di atas nama seorang wanita. Dia mendakwa kereta itu hanya menggunakan namanya namun untuk dibeli untuk kegunaan pihak lain.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian enggan mengulas lanjut dan sekadar memberitahu, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.33 malam dan pasukannya segera ke lokasi kejadian diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazri Abd Rahman.

“Apabila tiba di lokasi api sedang marak. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 7.44 malam dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. - UTUSAN ONLINE