Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, rampasan terbaharu itu melibatkan 163 kilogram (kg) syabu, 18.6 kg ganja, 3.67 kg heroin yang dibuat Isnin lalu di sekitar Timur Laut dan Barat Daya di sini.

Dalam operasi itu, tambahnya, polis turut menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 39 dan 46 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Dadah ini sekiranya terlepas ke pasaran boleh digunakan seramai kira-kira 1.1 juta penagih,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, polis kini melancarkan perang besar-besaran terhadap sindiket penghasilan dadah yang dilihat semakin membimbangkan.

Katanya, sehingga 31 Ogos lepas, sebanyak satu tan syabu telah dirampas selain lapan makmal dadah turut digempur.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas pada tahun ini mencecah RM77 juta tidak termasuk yang diumumkan hari ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE.