Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin MatTaib berkata, kesemua suspek berusia  31 hingga 39 tahun itu ditahan dalam Op Lejang yang dijalankan pihaknya pada 10 hingga 11 Februari lalu.

"Kita mula menangkap ketua kumpulan penjenayah ini yang dikenali dengan nama Ayie berusia 31 tahun di Seksyen 25, di sini pada 10 Februari lalu.

"Hasil pemeriksaan dan soal siasat ke atas suspek, kita berjaya menahan empat lagi rakannya di sekitar daerah ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Shah Alam di sini hari ini.

Pada masa sama, Baharuddin turut memaklumkan pihaknya turut menemukan semula tujuh buah motosikal yang dipercayai dicuri oleh kumpulan berkenaan yang mana empat dari daripadanya dari jenis Honda EX-5, dua buah jenis Modenas dan sebuah Yamaha LC.

Selain itu pihaknya turut menjumpai beberapa rangka motosikal berserta dua biji tayar yang kesemuanya bernilai RM28,000.

"Tahanan reman membabitkan semua suspek berakhir hari ini. Namun, kita akan memohon perintah untuk melanjutkan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE