Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, kesemua lelaki berusia antara 21 hingga 36 tahun ditahan selepas enam kes pecah rumah dilaporkan di kawasan Taiping sejak Disember tahun lalu melibatkan kerugian lebih RM50,000.

Katanya, dalam serbuan pertama pada 27 Mac lalu, polis menahan seorang daripada ahli kumpulan itu di Taman Medan Bersatu, Kampung Koyan di sini.

“Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada penahanan seorang lagi ahli kumpulan itu dan ketuanya yang dikenali Peifat di sebuah rumah di Aulong,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini hari ini.

Kumpulan tersebut dikenali geng peifat yang bermaksud gemuk kerana ketua kumpulan itu yang berbadan gempal.

Menurut Mohamad, ketiga-tiga suspek menggunakan modus operandi mengumpil pintu atau tingkap di rumah yang tiada penghuni pada siang hari dan menyasarkan barang-barang elektriktronik.

Katanya, polis sedang menyiasat kedai yang menjadi tempat suspek menjual semula barang curi tersebut.

“Ketiga-tiga mereka kini ditahan reman selama 21 hari di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959,” katanya. - UTUSAN ONLINE