Menurut sumber, lelaki berpangkat Datuk berusia 60 tahun itu tiba di Ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.

“Beliau juga telah memberi keterangan kepada SPRM semalam selama dua jam bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari berhubung kes tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, Mahkamah Majistret Putrajaya membebaskan seorang bekas pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk selepas direman empat hari bagi membantu siasatan kes kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta.

Turut dibebaskan, seorang wanita iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta yang direman empat hari sebelum ini bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.

Majistret Atikah Abu Hassan membebaskan mereka dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Selasa lalu, SPRM menahan bekas pengerusi agensi kerajaan berusia 64 tahun dan CEO wanita berusia 32 tahun itu selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat Putrajaya.

Menurut sumber, bekas pengerusi agensi kerajaan itu disyaki menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai pengerusi, dalam mencadangkan sebuah syarikat secara lantikan terus dalam projek Kempen Pengiklanan Digital bagi pasaran China untuk tempoh 2018 hingga 2020 yang dianggarkan berjumlah lebih RM99 juta dengan menggunakan peruntukan agensi kerajaan berkenaan. - UTUSAN ONLINE