Itu taktik terbaharu sindiket penyelewengan LPG yang ditumpaskan Kementerian Per­dagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan kira-kira pukul 1.15 petang di Pandamaran, Klang, Selangor semalam.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Cawangan Pencegahan dan Perisikan) KPDNHEP, Suhaimi Mat Sari berkata, sindiket yang beroperasi di sebuah premis tidak berlesen di belakang sebuah kuil itu tumpas, hasil risikan pegawai kementerian sejak sebulan lalu.

“Selepas memindahkan LPG 14 kg bersubsidi ke dalam tangki lori, LPG itu akan dihantar dan dipindahkan ke tong atau tangki LPG pihak industri. Pasaran sindiket ini dipercayai kilang-kilang di Lembah Klang,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDNHEP di Nilai dekat sini hari ini.

Menurut Suhaimi, selain tangki lori berisi LPG bersubsidi, KPDNHEP turut merampas sebanyak 202 tong LPG 14 kg, 62 tong LPG 50 kg, tiga tong LPG 12 kg dan dua batang paip yang digunakan untuk memindahkan LPG terbabit.

Ujarnya, tong LPG yang dirampas daripada sindiket berkenaan terdiri daripada jenama Solar serta Petron dan anggaran nilai rampasan sebanyak RM150,000.

Jelasnya, anggota sindiket dipercayai warga asing gagal di­berkas kerana melarikan diri semasa serbuan dilakukan, manakala dalang sindiket berkenaan dipercayai warga tempatan.

“Bagaimanapun kami me­nemukan satu pasport milik warga Malaysia di premis itu yang dipercayai boleh membantu siasatan kes ini,” kata­nya.