Chai Ken Kew, 59, dari Taman Desa, Kuala Lumpur berkata, tanah seluas 2.18 hektar itu dijual mendiang bapanya, Chai Yen Chong dengan harga AD$3 juta (RM9 juta) pada 2017 sebelum meninggal dunia pada tahu sama akibat sakit tua ketika berusia 86 tahun.

“Malangnya sehingga hari ini hasil jualan tanah itu tidak diagihkan kepada saya dan adik, Chai Jook Kew, 56, yang sepatutnya masing-masing diberikan RM4.5 juta selepas dibahagikan kepada kami dua beradik.

“Apabila saya meminta wang jualan tersebut daripada bapa saudara yang merupakan pemegang amanah dan pemegang wasiat, dia tidak mahu bekerjasama malah menghalau saya daripada pejabatnya, malah mengatakan bapa saya berhutang RM9 juta dengannya,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat aduan di Pejabat Ketua Biro Aduan MCA Johor, Michael Tay Chee Boon di Taman Maju Jaya di sini sebentar tadi.

Ken Kew mahukan perkara tersebut dirunding dan dibincangkan secara baik dengan bapa saudaranya itu menerusi penyelesaian di luar mahkamah.

Bapa kepada dua anak itu yang sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi di sini memberi tempoh antara dua hingga tiga bulan untuk bapa saudaranya menyelesaikan masalah tersebut.

“Sekiranya bapa saudara masig enggan dan berdegil, saya akan membawa perkara ini ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan dan hak kami semula yang dinafikan. Begitu juga dengak adik saya, Chai Jook Kew, 56, akan melakukan tindakan sama,” katanya.

Menurutnya, dia kini hilang sumber pendapatan selepas kilang menghasilkan alat pemanas air milik keluarga dijual sejak tahun lalu dan tidak lagi meraih pendapatan sebagai konsultan.

Pada masa sama katanya, perlu menanggung anak sulung yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta di ibu negara dan anak kedua yang menduduki kelas ‘O’ Level.

“Saya hanya mahukan peguam membacakan wasiat bapa dan menyerahkan hak kami kerana masing-masing kesempitan wang. Saya kini mengharapkan bantuan rakan-rakan untuk terus hidup dan berharap perkara ini diselesaikan secepat mungkin.

“Sejak bapa meninggal dunia wasiat yang dibuat bapa pada 2005 tidak pernah dibacakan kepada saya. Bapa melantik bapa saudara itu yang merupakan seorang peguam sebagai pemegang amanah kerana semasa hidup bapa mempercayainya,” katanya.

Sementara itu, Chee Boon berkata, pihaknya akan memberikan bantuan sewajarnya terutama mendapatkan bantuan dari agensi kerajaan.

“Saya berharap pihak yang mengendalikan jualan tanah dan peguam keluarga berkenaan akan menjalankan tanggungjawab dengan amanah kepada waris.

“Kes ini sepatutnya diselesaikan secara kekeluargaan. Kami berikan masa tiga bulan supaya mereka selesaikan perkara ini secara baik sebelum membawa kes ke mahkamah,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Habis.