Video aksi tiga pelajar berkenaan meneguk air ketum terbabit yang berdurasi 20 saat mula tular di media sosial Facebook pagi ini.

Menurut sumber, pihak polis telah menerima maklumat berkaitan video beberapa pelajar perempuan minum cecair disyaki ketum tersebut dan siasatan lanjut segera dilakukan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2 petang kelmarin dan kumpulan remaja terbabit merupakan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di negeri ini.

“Soal siasat ke atas pelajar mendapati mereka berkongsi duit bagi membeli sebotol air ketum yang berharga RM10. Perbuatan ini kali pertama dan mereka minum air itu kerana perasaan ingin tahu dan mahu mencuba.

“Pihak JSJN Kelantan sudah mengenal pasti lelaki yang menjual air ketum ini untuk tindakan lanjut dan tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber lagj, hasil semakan dengan pihak sekolah mendapati kesemua pelajar perempuan terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan disiplin.

“Adalah diingatkan kepada semua pelaja bahawa pihak polis dan sekolah memandang serius penglibatan dan salah laku pelajar terutama melibatkan kegiatan meminum air ketum.

“Jika ditangkap mereka boleh didakwa di bawah seksyen 30(5) Akta Racun 1952 yang mana hukuman bagi seksyen ini adalah denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara 4 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. - UTUSAN ONLINE