Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penangkapan itu pastinya akan memberikan kesan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Justeru katanya, kepemimpinan tertinggi parti itu akan mengadakan perbincangan berhubung penangkapan tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Dari segi perundangan dan penguatkuasaan walaupun kita tidak boleh menghukum mana-mana individu sebelum hukuman dijatuhkan mahkamah, namun dari segi moral ia amat mendukacitakan dan tidak seharusnya berlaku.

“Sudah pasti ia memberi kesan dan menjejaskan kawasan itu namun kita akan berusaha supaya organisasi serta rakyat tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebang-saan (SMK) Mengkebang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman.

Akhbar sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan seorang ketua UMNO bahagian di Kuala Lumpur ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Imbi di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Shaharudin Abdullah berkata, dalam serbuan itu, pemimpin tersebut bersama sekumpulan rakannya ditahan selepas ujian air kencing mereka positif dadah. - UTUSAN ONLINE