Tanpa memberi butiran lanjut mengenai penahanan lelaki itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya telah mengenal pasti mereka yang terlibat dalam kes terbabit dan mengarahkan kesemua suspek segera tampil bagi membantu siasatan.

Jelasnya, walaupun kes berkenaan dianggap telah ‘selesai’ selepas kedua-dua pihak ‘berdamai’ namun beliau mengarahkan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya untuk mengesan semua individu yang terbabit dalam insiden itu.

“Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku seolah-olah negara tidak mempunyai undang-undang dengan membelasah orang sesuka hati. Jadi serah diri di balai polis Ampang Jaya atau kita (polis) akan cari mereka.

“Jadi sebarang penyelesaian yang dibuat, kita tidak akan terima. Kita akan kesan, tangkap dan hadapkan mereka mahkamah dan saya nasihatkan mereka yang terlibat untuk tampil dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Op Selamat 10, 2017 sempena Tahun Baharu Cina di Persada PLUS di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE