Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, berdasarkan jumlah kes itu, nilai kerugian turut mencatatkan penurunan sebanyak 19.5 peratus daripada RM300 juta kepada RM242 juta.

“Nilai kerugian yang dapat dikurangkan kita ialah sebanyak RM58 juta. Namun jumlah yang dicatatkan ini masih tinggi dan membimbangkan.

“Kita mahu nilai kerugian ini terus berkurangan dan masyarakat perlu diberi kesedaran melalui kempen dijalankan polis serta pihak korporat melalui kerjasama pintar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah ‘Be Smart - Don’t Be Victim Cybercrime di Plaza Low Yat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mazlan memberitahu, jumlah kes dicatatkan sepanjang dalam tempoh 11 bulan tahun ini iaitu sebanyak 2,341 berbanding tahun lalu sebanyak 3,321 kes.

“Pasukan Jenayah Komersial melalui usaha gigih mereka berjaya menurunkan kadar kes yang berlaku di Kuala Lumpur sebanyak 29.5 peratus,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihak polis mengesan sebanyak empat kategori jenayah siber yang menjadi trend membimbangkan iaitu African Scam, Macau Scam, Pinjaman Tidak Wujud dan Penipuan Pembelian Atas Talian.

“Bagi memastikan jenayah siber ini diatasi saya telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengadakan kempen kesedaran jenayah penipuan siber ini setiap dua bulan sekali di peringkat Kontinjen.

“Begitu juga bagi enam daerah di bawah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang perlu melakukan kempen kesedaran ini sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memaklumkan orang ramai mengenai kewujudan penipuan ini,” jelasnya - UTUSAN ONLINE