Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya telah mengambil sampel darah individu yang dipercayai mempunyai pertalian darah dengan kedua-dua mangsa bagi mengenal pasti identiti mereka.

“Sampel darah telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi mengetahui sama ada sepadan dengan individu yang dipercayai waris.

“Kita juga telah mengambil cap jari mangsa bagi mengetahui identiti kedua-dua mayat itu. Kita harap keputusan DNA akan keluar secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Penganugerahan Op Selamat Ke-14 Tahun Baharu Cina di Persada PLUS di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Ketua Biro Penerangan Masyarakat Polis Republik Indonesia (POLRI), Brigidier Jeneral Dedi Prasetyo mengesahkan satu daripada dua mayat yang ditemukan dikenal pasti sebagai Nuryanto iaitu seorang ahli perniagaan tekstil.

Pada 26 Januari lalu, mayat dua individu tanpa identiti ditemukan berhampiran sungai di kawasan kelapa sawit serta satu plastik dipercayai mengandungi kepala, tangan dan kaki yang turut ditemukan di lokasi kejadian oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

Hasil pemeriksaan polis mendapati identiti mayat merupakan seorang lelaki dan wanita serta kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Susulan itu, dua lelaki warga asing berusia 35 hingga 40 tahun ditahan di sekitar Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes penemuan dua mayat berkenaan.- UTUSAN ONLINE