Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, Aliff Syukri mematuhi Notis 114  atau panggilan temu siasat dan menyelesaikan caj perbezaan LKM kenderaan berkenaan.

Katanya, susulan kes tersebut, JPJ telah melancarkan Ops Tiris bermula 2 Januari hingga 31 Januari lalu di seluruh negara untuk mengesan kenderaan lain yang menggunakan LKM di luar kawasan pengisytiharan.

"Kita telah mengesan hampir 1,000 kenderaan  melebihi 2400cc termasuk kereta mewah yang melakukan kesalahan berkenaan dan semua pemiliknya diberikan Notis 114 dan diarahkan menyelesaikan perbezaan bayaran LKM," katanya dalam sidang akhbar operasi bersepadu Penguatkuasaan Khas Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2018 di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPJ negeri, Azrin Borhan.

Terdahulu, Wan Ahmad Uzir berkata, sebanyak 4,380 kenderaan diperiksa dalam operasi bersepadu di seluruh Negeri Sembilan sepanjang tiga hari sehingga semalam, dengan 2,455 kesalahan dikesan dan 1,420 pemilik dikenakan tindakan.

Katanya, melalui strategi penyamaran sebagai penumpang bas, sebanyak 31 saman dikeluarkan membabitkan 33 bas kerana tidak menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer.

Tambahnya, bilangan kes memandu di lorong kecemasan bagaimanapun menurun dengan mendadak kepada lima kes sahaja dan faktor penyumbang dikenal pasti adalah kekerapan rondaan pasukan penguat kuasa di lebuh raya. - UTUSAN ONLINE