Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua penemuan tersebut dijumpai berdekatan tengkorak kepala kanak-kanak berusia tiga tahun itu yang berjarak 10 meter dari jalan raya kira-kira pukul 11 pagi.

Menurutnya, gigi dan gumpalan rambut tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi proses pengesahan identiti bersama-sama tengkorak kepala yang ditemukan semalam.

“Anjing pengesan yang turut melakukan operasi mencari, berpusing-pusing di sekitar kawasan itu sebelum kita menemukan gigi dan rambut tersebut tidak jauh dari lokasi tengkorak kepala ditemukan.

“Sehubungan itu, operasi mencari akan dihentikan setakat ini kecuali ada keperluan untuk kita meneruskannya meman­dang­kan penemuan itu sudah membolehkan proses autopsi dilakukan” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di sini hari ini

Semalam, mayat Nur Aisyah Aleya ditemukan di kawasan gaung Gunung Raya kira-kira pukul 11.30 pagi dalam keadaan ngeri apabila hanya tengkorak kepala dan cebisan rambut dipercayai miliknya ditemukan.

Ia susulan penahanan dua suspek di sebuah inap desa di Ampang, Selangor, kelmarin yang dipercayai melarikan diri selepas ibu kanak-kanak itu membuat laporan polis ekoran anaknya hilang di rumah suspek.

Tambah Mohd. Iqbal, radius pencarian hari ini diperluaskan sehingga 500 meter dengan tahap kecuraman kira-kira 45 darjah yang membabitkan 31 anggota kedua-dua agensi itu.

Dalam perkembangan ber­kaitan, beliau berkata, sampel darah milik ibu mangsa dan kedua-dua suspek turut diambil selain akan memanggil beberapa lagi saksi bagi melengkapkan siasatan.

“Malah, lima anak kandung suspek sudah dibawa ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk dirakam percakapan melalui Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC),” ujarnya.

Terdahulu, pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun itu direman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Perintah tahanan reman terhadap suspek lelaki yang tidak bekerja dan isterinya yang merupakan seorang jururawat itu dikeluarkan Majistret Mohd. Ridzwan Salleh di Mahkamah Majistret Langkawi.