Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, polis juga akan mengambil tindakan susulan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan ke atas kedua-dua pihak yang terlibat dalam kes itu.

"Pegawai polis dari Bukit Aman yang terlibat dalam kes itu turut disiasat oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

"Kami tiada kompromi dalam kes ini dan menjalankan siasatan yang telus serta adil ke atas kedua-dua pihak," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Seremban, di sini hari ini.

Peniaga burger berusia 30 tahun itu telah membuat laporan polis pada 9 Januari lalu mendakwa dua lelaki telah datang ke gerai burger beliau kira-kira pukul 1.30 pagi hari berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

Dua lelaki itu telah meminta kad pengenalan pengadu untuk diperiksa tetapi tidak diberikan dengan alasan mereka tidak menunjukkan kad kuasa polis.

Pengadu juga menyatakan salah seorang lelaki itu kemudiannya telah menumbuk mukanya dan berlaku pergelutan antara mereka.

Rakaman video kejadian itu turut tular dalam media sosial baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE