Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya memberikan sokongan dan dukungan dari segi tenaga kerja untuk menguatkuasakan undang-undang.

Ke arah itu, beliau berkata, pihak polis bersetuju menempatkan satu batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) dari batalion Bidor, Perak yang terdiri daripada 500 orang selain sebuah lagi batalion juga sebanyak 500, dalam posisi berjaga-jaga (standby)

“Jadi dengan adanya satu batalion Senoi Praaq, ia akan sedia membantu Jabatan Perhilitan yang selama ini saya dengar amat tercabar sekali tugasan mereka di dalam hutan. Nyawa mereka diancam oleh kumpulan pemburu haram dari luar negara yang begitu berani dan ganas.

“Kali ini polis akan bersama Perhilitan, kami akan beri latihan lain dalam penggunaan senjata api dan pihak saya sudah sediakan prosedur operasi standard (SOP) apabila berdepan pemburu haram yang mengancam nyawa pegawai Perhilitan ini dan kita akan guna kuasa untuk menembak mereka jika ada keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Harimau Global 2019 dan Pelancaran Kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ 2019-2020 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar.

Jelas Abdul Hamid, tujuan penempatan batalion Senoi Praaq itu adalah memandangkan mereka sedia mahir sebagai penjejak biasa dengan kehidupan dalam persekitaran hutan.

Komitmen pihaknya dalam membanteras kegiatan pemburuan haram Harimau Malaya katanya, adalah kerana binatang itu sangat simbolik dalam perlambangan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambahnya, beliau telah mengerahkan penubuhan satu bahagian khas khusus dalam Jabatan Cawangan Khas untuk mengumpul maklumat bukan sahaja melibatkan pemburuan haram tetapi juga mereka terlibat memperdagangkan bahagian haiwan liar seperti tanduk, daging dan hampedu.

“Pihak Cawangan Khas juga diberi tanggungjawab juga untuk memantau gaharu. Ini bermakna kita pantau semua termasuk flora. Apa sahaja dalam hutan yang tiada hak mereka untuk masuk, curi, tebang dan jerat itu semua akan diambil tindakan oleh pihak saya,” katanya.

Beliau menambah, operasi itu telah dimulakan dan kawasan-kawasannya telah pun dikenal pasti.

Sementara itu, Xavier memberitahu, tiga kawasan diberi tumpuan untuk operasi membanteras kegiatan pemburuan Harimau Malaya adalah Hutan Tropika Belum-Temenggor, Taman Negara Pahang-Terengganu dan Taman Negara Endau Rompin. - UTUSAN ONLINE