MOHD. WAZIR YUSOF
MOHD. WAZIR YUSOF

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berusia 49 tahun sebelum ini berkenalan dengan suspek pada akhir November lepas melalui laman Facebook, Rentak Kasih selepas tertarik dengan karangan puisi dimuat naik suspek menerusi laman itu.

“Pada 7 Disember lalu. mang­sa menerima panggilan daripada suspek dengan menawarkan penjualan tiket loteri berharga RM2,000 yang dikatakan telah memenangi hadiah berjumlah RM1.8 juta.

“Dalam tempoh itu, suspek turut menceritakan tentang masalah dan bebanan kewangan apabila akaun banknya dibekukan sedangkan dalam masa sama terpaksa mendapatkan rawatan di hospital,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd. Wazir menambah, simpati dengan nasib dialami ‘Datuk’ itu, mangsa yang sudah berkahwin kemudian memasukkan wang berjumlah RM240,005 menerusi 47 transaksi ke sembilan akaun berasingan sebelum me­nyedari ditipu setelah keuntungan menerusi tiket loteri dijanjikan itu masih belum diperoleh setelah beberapa bulan dan suspek pula menghilangkan diri.

Beliau berkata, mang­sa kemudian membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan apa jua tawaran yang diberi menerusi media sosial.– BERNAMA