Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Hafiz Ibrahim, 27, 
mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Tertuduh didakwa mencuri duit tabung di Masjid Lama Kampung Sungai Rengas di sini antara 
pukul 3.37 petang hingga 3.52 petang pada 10 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, kehadiran tertuduh yang mencurigakan itu disedari ahli jawatankuasa masjid 
sebelum mereka membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan hasil rakaman 
menunjukkan lelaki berkenaan masuk ke kawasan masjid dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 
125Z.

Tertuduh dilihat pergi ke tabung masjid yang berada di pintu masuk utama sebelum mengait duit 
di dalam tabung berkenaan beberapa kali dengan kerugian dianggarkan bernilai RM50.

Susulan kejadian itu laporan dibuat di Balai Polis Chabang Tiga, dan tertuduh ditahan di hadapan 
sebuah stesen minyak di Durian Burung kira-kira pukul 1 pagi pada Jumaat lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden L. Rathna, manakala  tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri 
Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad. - UTUSAN ONLINE