NOOR AINI
NOOR AINI 

Kakak mangsa, Noor Aini Sham,29, berkata, mereka sekeluarga boleh menerima pemergian adiknya itu namun tidak akan memaafkan perbuatan lelaki berkenaan.

Katanya, dia sekeluarga berasa lega apabila suspek telah ditahan pihak polis dan berharap lelaki itu dikenakan hukuman setimpal dengan apa yang telah dilakukannya terhadap Ainaa.

“Kami sekeluarga tidak pernah mengenali suspek dan hanya mengetahui tentang lelaki itu selepas kejadian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di sini, hari ini.

Menceritakan semula mengenai kejadian, Noor Aini berkata, Ainaa memaklumkan kepada seorang adik perempuannya bahawa dia mahu keluar ke rumah sepupu mereka kira-kira pukul 7 malam, pada Sabtu lalu.

Katanya, selepas itu, Ainaa turut memaklumkan kepada sepupunya itu bahawa dia ingin bertemu lelaki tersebut.

“Sepupu kami itu ada menasihatkan supaya jangan keluar kerana sudah malam tetapi Ainaa memaklumkan mahu keluar sekejap sahaja sebelum menunggang motosikal bersendirian.

“Adiknya itu bagaimanapun tidak pulang ke rumah dan ahli keluarga ada keluar mencarinya namun gagal menemuinya sehingga polis datang ke rumah keesokkan hari memaklumkan mayat dan motosikal arwah ditemui di Kodiang.

“Luluh hati kami sekeluarga apabia melihat adik dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi ketika membuat pengecaman di hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim berkata, suspek yang berusia 18 tahun itu direman selama tujuh hari bermula hari ini dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan mayat seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditemukan seorang pemancing di Sungai Sentap, Kampung Kodiang Lama, Mukim Keplu, Kodiang di sini, Sabtu lalu.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Ainna itu disedari pemancing tersebut selepas pakaian mangsa tersangkut pada mata kail joran yang digunakan lelaki itu kira-kira pukul 11.51 malam.- UTUSAN ONLINE