Ketika kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, kesemua suspek rakyat Indonesia berusia antara 38 hingga 55 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan diri dikesan cuba membawa keluar burung berkenaan dari negara ini yang dijadikan pusat transit untuk dibawa ke negara jiran bagi tujuan komersial.

Bagaimanapun tindakan pantas Maritim Malaysia yang menghidu perbuatan itu berjaya mengesan bot fiber dinaiki kesemua penyeludup berke­naan di perairan Selat Melaka.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Sembilan dan Melaka, Kepten Maritim Amran Daud berkata, bot berkenaan dikesan sedang bergerak keluar dari sempadan negara jiran dan sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, awak-awak bot fiber itu bertindak membuang sebahagian sangkar burung ke laut.

“Mereka kemudian ditahan pada kedudukan 9.2 kilometer di perairan Tanjung Gabang. Daripada 300 ekor burung tersebut yang dicampakkan ke laut, 279 ekor diselamatkan, namun tiga ekor sahaja yang masih hidup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Amran, kesemua burung berkenaan dipercayai dibawa dari Viet­nam melalui jalan darat ke Thailand memasuki negara ini sebagai pusat transit sebelum diseludup ke Indonesia untuk tujuan komersial.

Difahamkan, permintaan terhadap spesies burung terancam berkenaan begitu tinggi sehingga ada antara haiwan itu yang dijual pada harga RM553 seekor.

Tambahnya, burung daripada pelbagai spesies itu merupakan haiwan terancam dan dilindungi di bawah Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) dan salah satu daripada spesies yang dikenal pasti adalah burung jenis Branjangan.

“Kes ini diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri untuk siasatan di bawah Akta Pemuliharaan hidupan Liar 2010 manakala kesemua empat suspek terlibat ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan di perairan diminta menyalurkan maklumat menerusi talian 06-3876804 untuk negeri Melaka dan Negeri Sembilan yang beroperasi 24 jam.