Difahamkan kedai emas yang tidak mempunyai pengawal itu disamun suspek yang hanya menutup sebahagian muka dengan kain pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, suspek memecahkan lapan cermin pameran dengan tukul sebelum memasukkan barang kemas tersebut ke dalam sebuah beg hitam.

“Kita menerima maklumat pada kira-kira pukul 12.55 tengah hari dari Pusat Kawalan Kota Setar selepas dimaklumkan pihak syarikat penggera keselamatan.

“Siasatan awal mendapati terdapat dua atau tiga suspek yang belum dikenal pasti bangsanya terlibat dalam kejadian samun yang membabitkan kerugian kira-kira RM100,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Rozi, siasatan di tempat kejadian juga mendapati kesemua suspek tidak menggunakan senjata selain tukul.

Katanya, suspek disyaki melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di belakang premis berkenaan.

“Kita memanggil pihak forensik IPK (ibu pejabat polis) Kedah untuk membantu siasatan di tempat kejadian.

“Selain itu, Op Tutup juga dilancarkan sekitar bandar Alor Setar sejurus menerima maklumat kejadian ini bagi memburu suspek terlibat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE