Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata, ketiga-tiga lori tiga tan itu ditahan di dua lokasi berlainan kira-kira 5 pagi dan merampas 7.4 juta batang rokok jenama U2.

"Sebuah lori kami tahan di KM188.4 dan menahan pemandunya manakala dua lori lagi kami tahan di KM201.8, bagaimanapun pemandunya berjaya melarikan diri.

"Kami percaya ketiga-tiga lori ini adalah daripada sindiket yang sama kerana mereka seperti berkonvoi selain menggunakan jenis lori dan jenama rokok yang sama," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran menggunakan bot pancung dan memasuki jeti haram sebelum dipunggah menggunakan lori untuk pasaran tempatan.

"Dengan penahanan seorang suspek berusia 28 tahun ini, kami harap dapat jejaki sindiket ini. Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam sebelum didakwa di mahkamah," katanya.

Zulkifli berkata, kesalahan ini dilakukan mengikut Seksyen 135(1) (e) Akta Kastam 1967..

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. - BERNAMA