Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM KLIA, Abdull Wahid Sulong berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, sepasukan anggota dari bahagian penguatkuasaan jabatan itu telah memeriksa Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas KLIA dan menemui lima kotak yang mengandungi haiwan eksotik itu malam tadi.

“Kotak-kotak yang dirampas itu dibawa menggunakan penerbangan Etihad Airways dari Lapangan Terbang Antananarivo, Madagascar ke KLIA.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan mendapati terdapat lima ekor kura-kura jenis Ploughshare dan 325 ekor kura-kura jenis Indian Star yang bernilai RM1.2 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Abdull Wahid berkata, siasatan awal menunjukkan kura-kura itu diisytiharkan sebagai batu dalam surat muatan udara dan alamat yang digunakan untuk menghantar haiwan itu di Salak Tinggi dekat sini didapati palsu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan yang disita atau maksima 20 kali ganda dari nilai barangan yang disita atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. - UTUSAN ONLINE