Itu taktik yang dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri ketika mematahkan cubaan menyeludup kira-kira 1,800 botol minuman keras tidak bercukai dari Pulau Langkawi, dekat sini, Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu turut mendapati lori 10 tan yang digunakan untuk membawa minuman itu menerusi kapal kargo tidak mengikrar kenderaan berat terbabit dalam manifest kastam sebagai ejen selain mengikrar muatan kosong.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Johari Alifiah berkata, lori tanpa pemandu yang tiba di Pelabuhan Kargo Jeti Kuala Kedah diperiksa anggota penguat kuasa kastam selepas pihaknya menerima maklumat awam dan risikan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 689.30 liter minuman keras pelbagai jenama yang bernilai RM139,995 disorokkan dalam kotak-kotak barangan runcit pada bahagian belakang lori itu.

“Anggaran cukai atau duti barangan itu pula sebanyak RM104,565, menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira RM294,560 termasuk lori terbabit yang ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Johari, modus operandi tersebut agak berbeza berbanding kegiatan-kegiatan penyeludupan minuman keras yang pernah digagalkan pihaknya sebelum ini.

“Kita sedang melakukan siasatan lanjut termasuk bagi mengenal pasti pemilik lori ini serta ke kawasan mana minuman-minuman keras itu hendak dihantar,” ujarnya.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tak berkastam yang memperuntukan denda sehingga 20 kali ganda daripada nilai barang atau RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun.

Johari turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan seperti rokok, minuman keras, dadah dan mercun untuk menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran. -UTUSAN ONLINE