Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, pihaknya turut menahan seorang tekong dan dua kru kapal berkenaan masing-masing rakyat tempatan berusia antara 48 hingga 67 tahun.

Menurutnya, kapal kargo berkenaan membawa bekalan minyak dari Sandakan untuk dihantar ke resort-resort yang berada di Kinabatangan, dekat sini dan telah diperiksa oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Op Pluto Timur pada pukul 12.10 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati permit khas yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu hanya membenarkan membawa sejumlah 1,200 liter petrol dan 400 leter diesel.

“Walau bagaimanapun, kita telah menjumpai 14 tong drum berisi minyak diesel anggaran lebih kurang 2,800 liter dan 17 tong drum berisi anggaran 3,400 liter minyak petrol,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Khairulanuar menambah, kapal tersebut dibawa ke Jeti Zon Maritim, di sini untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Orang ramai dinasihatkan agar segera menyalurkan sebarang aduan salah laku jenayah atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE