Malah, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kapal tersebut yang berdaftar di Mongolia sepatutnya sudah tiba di Yangon, Myanmar selepas bertolak dari Pelabuhan Batam, Indonesia pada 31 Mac lalu.

Curiga dengan kapal yang berlayar bersama-sama sembilan kru itu, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Langkawi bertindak membuat pemeriksaan selepas menerima maklumat risikan.

Hasilnya, 24 juta batang rokok putih berjenama John yang bernilai RM3 juta dan anggaran nilai kastam mencecah RM16.14 juta ditemukan di bahagian perut kapal itu.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Johari Alifiah berkata, rampasan keseluruhan berjumlah RM19.14 juta tersebut adalah yang terbesar oleh pihaknya membabitkan kapal dagang.

“Kita tidak menolak kemungkinan jumlah 24 juta batang rokok putih yang dipercayai dari Indonesia ini hanya separuh daripada muatan kapal tersebut memandangkan tempohnya yang agak lama menuju ke destinasi ditetapkan.

“Namun, kita masih menyiasat sekiranya kapal ini turut singgah di perairan-perairan lain untuk menghantar barangan tersebut menggunakan pelbagai cara,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Bukit Malut, di sini hari ini.

GAMBAR kapal dagang berdaftar di Mongolia yang membawa rokok putih seludup ketika ditahan di Peraira

GAMBAR kapal dagang berdaftar di Mongolia yang membawa rokok putih seludup ketika ditahan di Perairan Kuah, Langkawi, Kedah, hari ini. -UTUSAN ONLINE

Tambah Johari, kesemua 10 tangkapan termasuk seorang nakhoda, berusia antara 22 hingga 36 tahun yang merupakan warganegara Indonesia kini direman selama 14 hari sehingga 20 April ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap kapal dagang tersebut juga mendapati tiada kelulusan dan kebenaran daripada Jabatan Laut untuk mereka berlabuh di pulau ini.

Ujar beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membawa atau menyimpan barang-barang tak berkastam atau barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 yang mana amaun lebih besar atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama.

“Manakala, jika kesalahan kedua atau seterusnya, denda maksimum sehingga 40 kali ganda amaun duti kastam atau RM1 juta yang mana amaun lebih besar atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. - UTUSAN ONLINE