Memetik laporan Utusan Borneo, kedua-dua suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu pada kira-kira pukul 11.45 malam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitenden Zulkipli Suhaili berkata, penangkapan kedua-dua suspek lelaki tempatan berumur 28 dan 30 tahun oleh anggota JSJ itu diketuai Inspektor Diana Sanjan.

Katanya, sebelum itu, pihaknya menerima maklumat berkenaan dua suspek itu dipercayai sebagai kumpulan curi motosikal yang sedang berlegar-legar di kawasan itu.

“Penahanan suspek telah membawa kepada penemuan dua motosikal yang disembunyikan di dua lokasi berasingan di Bintulu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati motosikal tersebut telah dilaporkan hilang di tempat berasingan di Miri pada 27 Februari dan 15 April tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zulkipli, hasil maklumat risikan polis mendapati suspek membawa motosikal curi itu ke Bintulu dipercayai untuk mencari pembeli.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Bintulu.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Bintulu untuk perintah reman sebelum diserahkan kepada polis Miri untuk tindakan lanjut,” jelasnya.-UTUSAN ONLINE