Utusan Borneo melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang, mangsa yang berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE)

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Mohd. Haris Ibrahim berkata, ketika kejadian, bapa mangsa yang berumur 39 tahun itu dipercayai dari kebunnya di Kampung Tadong Adong dan mahu pulang ke rumah mereka di Kampung Kibunut.

Menurutnya, mangsa pada awalnya berada dalam kenderaan terbabit sebelum bertindak keluar dan memanjat ruang belakang kenderaan jenis pacuan empat roda itu.

“Siasatan mendapati lelaki tersebut cuba untuk mengundurkan kenderaannya keluar dari kebun dan terhenti kerana keadaan jalan yang tidak rata namun mangsa tiba-tiba membuka pintu dan bergegas keluar menaiki belakang kenderaan berkenaan.

“Selepas melihat anaknya berada di bahagian ruang belakang, bapa mangsa mengundurkan kenderaannya untuk keluar sebelum terdengar bunyi seperti melanggar sesuatu,” katanya dalam satu kenyataan polis.

Mohd. Haris berkata, bapa mangsa segera keluar dari kenderaannya dan terkejut melihat mangsa dalam keadaan terbaring di atas jalan dan termuntah darah.

Jelasnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh sebelum dilanggar bapanya secara tidak sengaja ketika mengundurkan kenderaan.

“Polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.- UTUSAN ONLINE