Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5 pagi di rumah mangsa yang tidak berkunci.

"Suspek telah masuk ke rumah mangsa berusia 10 tahun tersebut yang terletak di tingkat tiga selepas mendapati pintu utama rumah itu tidak berkunci.

"Suspek telah masuk ke bilik mangsa dan menikam mangsa sebanyak dua kali sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, ketika kejadian ayah mangsa yang berusia 48 tahun sedang tidur di biliknya dan hanya menyedari kejadian setelah mendengar jeritan daripada kanak-kanak malang terbabit.

"Hasil pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian, kita menemukan motorsikal milik suspek yang ditinggalkan di hadapan sebuah kedai berhampiran.

"Kita juga menemukan sebilah pisau yang digunakan suspek serta botol arak dipercayai milik lelaki tersebut di tempat kejadian," ujarnya.

Ahmad Dzaffir berkata, bertindak terhadap maklumat yang diperolehi, suspek berjaya ditahan keesokan harinya kira-kira pukul 3.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7 dan Balai Polis Batu 9 Cheras, Ibu pejabat Polis Daerah Kajang.

"Suspek berusia 40 tahun kemudian ditahan reman selama enam hari sehingga Jumaat depan untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kanak-Kanak.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian dada sebelah kanan dan perut sebelah kiri mendapat rawatan di Hospital Kajang," jelasnya. - UTUSAN ONLINE