Suspek berusia 32 tahun itu ditahan ketika sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota polis dari Balai Polis Machang Bubok yang sedang melakukan rondaan kira-kira pukul 9.20 malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, selepas diperiksa, polis menemukan dan merampas beberapa barangan mencurigakan daripada suspek termasuk sepasang gari dan sebuah ‘walkie-talkie’.

Katanya, turut dirampas ialah sehelai jaket, sehelai baju berlengan panjang serta sehelai baju berlengan pendek berwarna biru gelap yang kedua-duanya tertera logo polis.

“Pada masa sama, polis turut merampas motosikal yang ditunggangi suspek selepas pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dipercayai digunakan untuk tujuan jenayah.

“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Machang Bubok untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, ketika kejadian, tiada saksi atau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ditemukan di lokasi tersebut.

Dalam pada itu, Nik Ros Azhan memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan suspek kini direman untuk siasatan lanjut.-UTUSAN ONLINE