Mohd. Fauzi Rahmad, 33, dan Mohd. Hafizi Samsudin, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Ghazali Mohamad Taib.

Kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi rakan mereka, Mohd. Nas Khalid Mohd. Nasir, 33, didakwa merompak kenderaan milik Asmahani Mohd. Napiah, 36, yang merupakan pegawai penilaian di Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Kementerian Kewangan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta, Basement 1, Hotel Everly, Presint 1, Putrajaya dekat sini, kira-kira pukul 11.15 pagi, 1 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap mereka dan menetapkan 30 April untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE