Mangsa berusia 24 tahun yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai telefon di bandar raya ini dipercayai mahu meminjam kira-kira RM250,000 sebagai modal perniagaan yang ingin diceburinya.

Bagaimanapun, sebelum mendapat pinjaman itu, dia diminta oleh ahli sindiket terbabit untuk melakukan pelbagai bayaran termasuk wang proses sebelum pinjaman berjumlah RM250,000 itu dapat dikreditkan ke akaun miliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Annuar Amri Abd. Muluf berkata, pada hari kejadian, mangsa yang berasal dari Kuala Kedah, dekat sini menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp daripada seorang individu bernama ‘Kent’ yang mengaku sebagai ejen syarikat pinjaman wang.

“Sehari kemudian, mangsa menerima satu pesanan ringkas dari talian 62033 yang menyatakan pinjamannya telah diluluskan namun perlu membuat pelbagai bayaran ke dalam beberapa akaun bank.

“Mangsa yang menggunakan wang simpanannya serta meminjam daripada rakan sekerja melakukan 14 transaksi ke lapan akaun bank tempatan melalui pindahan wang secara dalam talian dan perkhidmatan kaunter seperti diarahkan ejen syarikat itu,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Annuar Amri, menyedari sesuatu yang pelik, mangsa enggan meneruskan pinjaman itu dan ingin membatalkannya.

Katanya, namun dia diminta membayar sebanyak RM25,000 lagi kononnya bagi mengelak wang itu tidak dibekukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum boleh dipulangkan kepadanya.

Katanya, mangsa telah membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu oleh sindiket berkenaan.

Sementara itu, sebanyak 171 kes melibatkan modus operandi sama telah dilaporkan di negeri dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang melibatkan kerugian sebanyak RM1.1 juta. - UTUSAN ONLINE