C. Vijayakumar, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah secara rasuah menerima suatu suapan wang tunai sebanyak RM11,000 daripada Mohd. Izham Mohd. Hashim, 38, sebagai upah untuk mendapatkan sijil Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) daripada Universiti Multimedia (MMU) atas nama Mohd. Amzar Hashim tanpa mengikut prosedur yang betul.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Alza warna biru di hadapan Pusat Jualan Cosway, Suppiah Pillay Off, 3rd Miles Jalan Ipoh di sini pada pukul 4.22 petang, 15 April tahun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Semalam, Vijayakumar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah masing-masing RM12,500 dan RM1,500 atas pertuduhan serupa. - UTUSAN ONLINE