Suspek berusia 40-an yang menjual kenderaan itu ke Thailand pada harga 4,000 baht (RM516) sebuah, menjadikan motosikal jenis Honda Wave sebagai sasaran.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, suspek yang tidak bekerja disyaki terlibat dalam lapan kes curi motosikal sepanjang tempoh itu.

Menurut beliau, suspek ditahan kira-kira pukul 7 malam selepas mencuri sebuah lagi motosikal Honda Wave di pasar pagi Pekan Padang Sera, Kodiang, di sini.

“Polis menerima laporan berhubung kehilangan motosikal tersebut pada pukul 10.30 pagi semalam dan bertindak atas laporan itu, pasukan khas Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berjaya menahan suspek di kawasan letak kereta Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Mohd. Ismail, pihaknya turut merampas beberapa barangan termasuk peralatan disyaki digunakan untuk mencuri motosikal iaitu dua kunci allen dan spanar yang telah diubah suai.

Ujar beliau, lelaki terbabit dipercayai menjual motosikal-motosikal curi tersebut ke negara jiran melalui sempadan Padang Besar, Perlis.

“Suspek mempunyai lima rekod jenayah antaranya membabitkan kes memiliki barang curi dan curi kenderaan. Lelaki itu kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE