Pengarahnya, Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata, JPJeBid akan mula digunakan bagi siri bidaan nombor pendaftaran kenderaan baru QCK bagi Samarahan dan QS dengan hujung L bagi Sibu.

Jelasnya, manakala Kuching dan Miri pula akan menggunakan siri nombor pendaftaran kenderaan baharu yang akan diumumkan nanti.

"Sistem (JPJeBid) ini sudah terlebih dahulu digunakan di Semenanjung bermula 15 April lalu dan mendapat sambutan yang baik," katanya ketika menghadiri Program Korban JPJ 2019 di Surau An Nur, Ibu Pejabat JPJ Sarawak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syafiq memberitahu, orang ramai dan syarikat di negeri ini yang mempunyai rekod di dalam Sistem MySikap dan berminat membida nombor pendaftaran kenderaan baru terbabit hanya perlu mendaftar di mana-mana cawangan JPJ bagi mendapatkan ID awam yang membolehkan mereka menyertai bidaan sistem itu.

"Sistem ini bukan bagi meningkatkan pendapatan JPJ, tetapi untuk memudahkan urusan pembelian nombor terbabit kerana sebelum ini urusan terbabit yang dilakukan secara manual biasanya ada campur tangan pihak tertentu.

“Kelebihan JPJeBid itu ia dapat menjadikan bidaan lebih telus di samping mengelakkan penglibatan orang tengah dan memberi peluang orang awam melihat sendiri jumlah bidaan dibuat oleh orang lain,” jelasnya.

Tambah Syafiq, harga bidaan menggunakan JPJeBid adalah berbeza mengikut harga minimum membabitkan beberapa kategori.

"Bagi kategori nombor bernilai utama, harga minimum ialah RM20,000 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM1,000 dan bagi nombor menarik pula harga minimumnya adalah RM3,000 dan kenaikan bidaan minimum RM150.

“Bagi nombor popular pula, harga minimum ialah RM800 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM40 manakala nombor biasa, harga minimum RM300 dan kenaikan bidaan minimum adalah RM15, “ katanya. -BERNAMA