Selain itu, mayat berkenaan diperlukan untuk pemeriksaan susulan termasuk oleh pakar perubatan dan forensik bagi mencari pelbagai bukti seterusnya melengkapkan siasatan polis yang mana ia penting bagi mengelakkan persoalan berbangkit apabila kes tersebut dibawa ke mahkamah kelak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, keputusan itu penting bagi tujuan pengesahan identiti secara konklusif dengan membandingkan DNA mangsa dengan ahli keluarganya.

"Setakat ini ibu mangsa mengecam mayat berdasarkan baju dipakainya tetapi kita memerlukan pengesahanj secara konklusif selain perlu menunggu hasil keputusan makmal lain bagi membantu siasatan.

"Tempoh ini dijangka mengambil masa selama dua minggu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Siti Masitah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Medang Hilir di Pekan dekat sini untuk ke kedai dengan menunggang basikal kira-kira pukul 5 petang 30 Januari lalu.

Mayat dipercayai anak ketiga daripada empat beradik itu ditemukan kira-kira pukul 4 petang Sabtu lalu oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di dalam semak bersebelahan sebuah ladang kelapa sawit di Tanjung Medang Kemahang, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Berdasarkan baju yang dipakai oleh mangsa, ibunya mengecam ia adalah sama seperti yang dipakai oleh anaknya itu ketika keluar dari rumah pada 30 Januari lepas. - UTUSAN ONLINE