Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksama Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, ia berdasarkan statistik pelbagai kes maritim di negeri ini yang dicatatkan tahun ini sehingga Mei menyaksikan peningkatan.

Menurutnya, antara statistik aktiviti menyalahi undang-undang maritim yang mencatatkan peningkatan adalah berkaitan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kejadian jenayah maritim di Johor, kesalahan di bawah ordinan perkapalan seperti berlabuh tanpa kebenaran, statistik di bawah ordinan ini untuk tahun ini sehingga Mei ada 24 kes manakala bagi tahun lepas 54 kes dan tahun 2017 pula sebanyak 30 kes, itu rekod untuk sepanjang tahun.

“Jadi, saya lihat memang ada trend peningkatan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Maritim Johor di Menara Tabung Haji di sini malam tadi.

Zulkifli berkata, selain itu, kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dalam tempoh sama untuk tahun ini menyaksikan 34 kes manakala sepanjang tahun 2018 dan 2017 pula masing-masing mencatatkan sebanyak 47 dan 51 kes.

Tambahnya, bagi Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, sehingga Mei tahun ini sebanyak enam kes direkodkan, tiga kes bagi 2018 dan tiada kes bagi tahun 2017.

“Kita akan terus menjalankan operasi bagi menangani jenayah maritim itu dan usaha tersebut akan dapat dipertingkatkan apabila aset-aset agensi yang mengalami kerosakan diselenggara kontraktor yang akan dilantik kelak,” katanya. - UTUSAN ONLINE.