Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, dalam tempoh sama, jumlah rampasan pelbagai jenis dadah adalah sebanyak 2,634 kilogram dengan nilai pada tahun ini, ia menyaksikan peningkatkan berbanding 412.02 kilogram dengan nilai RM14.183 juta tahun lalu.

“Selain rampasan dadah tersebut, polis turut menahan 10,428 individu berkaitan dadah sejak Jan hingga Jun lepas,” katanya berucap pada majlis perbarisan dan serah terima tugas Ketua Polis Johor di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Menurutnya, penahanan kesemua individu itu merupakan satu kejayaan besar bagi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri ini dalam usaha memerangi sindiket pengedaran dadah secara berterusan.

Mohd Khalil, berkata jenayah komersial pula merekodkan 1,854 kes khususnya penipuan berbanding 1,500 tahun lepas, namun, sebanyak 36.8 peratus daripada 1,854 kes itu sudah diselesaikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor.

Sementara itu, majlis serah terima tugas berkenaan menyaksikan Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd. Kamarudin Md Din dilantik Ketua Polis Johor yang baharu berkuatkuasa hari ini menggantikan Mohd Khalil yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, berkuatkuasa Selasa ini.

Majlis itu disaksikan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Tajudin Md Isa. - UTUSAN ONLINE.