Satiful Bahri Mamat
Satiful Bahri Mamat

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat  berharap umat Islam mengambil iktibar  terhadap pelaksanaan hukuman itu sekali gus menghindarkan mereka daripada terjerumus daripada gejala songsang yang bertentangan dengan fitrah manusia.

“Di samping kita melaksanakan cara seperti mendakwah, tarbiyah, beri didikan dan sebagainya, ada juga bahagian yang memerlukan kepada tindakan undang-undang  atau penguatkuasaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelaksanaan hukuman sebat itu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim; Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd, Zakri Wan Mohd; Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu, Wan Abd. Malik Wan Sidek dan Pengerusi Majlis Peguam Terengganu, Salehudin Harun.

Selain didenda RM3,000, hukuman enam sebatan terhadap pasangan lesbian berusia 22 dan 32 tahun itu yang mengaku salah kerana  cuba melakukan hubungan seks sejenis sepatutnya dilakukan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini 28 Ogos lalu namun terbabit ditangguhkan kepada  hari ini atas sebab-sebab teknikal.

Satiful Bahri seterusnya  mengucapkan tahniah kepada Mahkamah Syariah Terengganu yang berjaya menyempurnakan pelaksanaan hukuman itu hasil kerjasama  Penjara Kajang dan Penjara Pengkalan Chepa.

“Tujuan sebenar hukuman sebat dalam Islam bukan untuk mencederakan, bukan sebahagian untuk menzalimi tapi sebagai proses didikan dan apa yang kita telah saksikan tadi cara sebatan pun tidaklah begitu menggerunkan.

“Inilah gambaran dan hasrat sebenar agar masyarakat peka dalam isu ini dan tidak melemparkan tuduhan secara semborono kepada apa yang diputuskan oleh mahkamah seolah-olah ini satu kezaliman dan kekejaman.

“Malah pesalah masih diberi ruang untuk buat rayuan dan saya dimaklumkan pesalah ini terima hukuman tanpa rayuan dan mereka hadir atas kerelaan sendiri, ini menggambarkan kepada kita mengenai keinsafan mereka,” katanya.- UTUSAN ONLINE