Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, semua PATI yang berumur di antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu di kawasan penempatan di Batu 30, Dengkil awal pagi ini.

Katanya, operasi yang bermula pada pukul 1 pagi itu disertai 235 pegawai penguat kuasa termasuk dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Daerah Sepang (MPSepang).

“Secara keseluruhan sebanyak 176 warga asing telah diperiksa dalam operasi itu. Semasa pemeriksaan berlaku beberapa detik cemas apabila berlaku pergaduhan dan cubaan melarikan oleh warga asing.

“Pegawai yang terlibat juga berdepan cabaran kerana penghuni rumah tidak memberikan kerjasama sehingga memaksa pegawai memecahkan pintu beberapa buah rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, kebanyakan warga asing yang diperiksa memiliki kad pengenalan tetap dan ada di antara mereka memiliki pas lawatan sosial jangka panjang pasangan kepada warganegara.

“Operasi bersepadu itu tamat pada pukul 2.30 pagi dan kesemua tahanan dibawa ke ibu pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak bersekongkol melindungi PATI dan menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu pihak berkuasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan undang-undang.-UTUSAN ONLINE