Dalam kejadian kira-kira pukul 10.18 malam itu, seorang lelaki warganegara Thailand berusia 36 tahun mati ditikam oleh seorang wanita dipercayai isterinya sendiri di sebuah premis yang dijadikan rumah tumpangan serta kafe.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah kewa­ngan sebelum berlaku pertengkaran antara mangsa, Suroya Kanchaiyapum dengan isterinya yang berusia 38 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata, ketika disoal siasat, suspek mengaku melakukan perbuatan itu menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur sebelum menikam bahagian kiri dada suaminya.

Menurutnya, senjata terbabit kemudian disimpan dalam beg pinggang suspek bagi mengelakkan ditemukan oleh pihak berkuasa.

“Susulan kejadian itu seramai 14 saksi kejadian telah dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut untuk disoal siasat sebelum menahan tujuh daripada mereka.

“Kesemua tujuh yang ditahan adalah lelaki warga Thailand sekali gus menjadikan jumlah tangkapan seramai lapan orang termasuk isteri mangsa yang disyaki sebagai suspek utama kes tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Saravanan, kesemua yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun menyewa bilik di bangunan tersebut dan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial untuk melancong selama 30 hari.

“Ketika ini, kesemua tahanan direman selama 14 hari mengikut akta Imigresen manakala kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujar beliau.