Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor, dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa berusia 38 tahun dikatakan sedang menonton televisyen, manakala isterinya berlegar-legar dari bilik tidur ke ruang tamu sambil mencari talian telefon bimbitnya kerana sedang bermain judi dalam talian.

"Akibat perbuatan tidak bermoral itu, mangsa kemudian menegur, namun isterinya marah dan berlaku pertengkaran antara mereka.

"Suspek kemudian keluar dari rumah dan masuk semula sambil membawa sebatang besi lalu bertindak memukul suaminya di bahagian muka dan badan sambil menjerit memarahi mangsa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Akibat kejadian itu, Nasri berkata mangsa mengalami luka di kening, pipi serta dada dan dia membuat laporan polis semalam selepas menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Nasri berkata suspek yang berumur 40 tahun dan juga seorang penagih dadah ditangkap dalam serbuan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah di rumah suspek kira-kira 2 pagi tadi.

"Ujian air kencing ke atas suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan seseorang menggunakan senjata. - BERNAMA