Lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai menggunakan modus operandi terbabit bagi mengaburi mata pihak berkuasa sejak aktif dalam kegiatan itu mulai awal tahun ini.

Serbuan itu turut membongkar rahsia lelaki tersebut yang bekerja sebagai pembantu kedai kopi di daerah ini, menggunakan sebuah kereta mewah jenis Mercedes-Benz C350 AMG bernilai lebih RM200,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Helmi Aris berkata, serbuan kira-kira pukul 9 malam itu menemukan kira-kira 3.2 kilogram (kg) methamphetamine dan ketamin yang dibungkus di dalam 50 paket minuman segera bertulisan ‘Hot Chocolate Drink 3 In 1’ dan 25 bungkus lagi di dalam paket minuman teh Cina.

Menurut beliau, serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota JSJN itu turut menemukan 2 kg lagi kedua-dua jenis dadah sama yang dibungkus dalam 26 paket plastik lutsinar dan berwarna merah jambu.

“Selain itu, kita juga merampas 979 biji pil ekstasi dan 10 biji pil eramin 5 yang kesemua nilai keseluruhan dadah tersebut sebanyak RM343,176,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Tambah Helmi, suspek yang sudah berkahwin itu tidak mempunyai rekod lampau, namun didapati positif ketamin dan kini direman selama seminggu sehingga Sabtu ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan serta boleh juga dikenakan 15 sebatan jika tidak digantung,” ujarnya.

Sementara itu, ujar beliau, berdasarkan maklumat dan risikan, dadah-dadah tersebut dijual dengan harga RM160 sepaket di pusat-pusat hiburan yang menjadi tumpuan golongan remaja berhibur di bandar ini.

“Taktik yang digunakan oleh pengedar seperti ini boleh mencemar imej pemilik-pemilik pengeluar minuman tersebut, oleh itu masyarakat diharap lebih peka dengan trend terkini pengedaran dadah. - UTUSAN ONLINE